Jenis-jenis Perniagaan di Malaysia
Dalam Malaysia ada pelbagai bentuk organisasi dan milikan perniagaan yang wujud dalam dunia perniagaan. Kebiasaannya pada permulaan, seseorang akan memilih perniagaan berbentuk persendirian iaitu mulakan perniagaaan dengan modal yang kecil, dan tidak kurang juga ada yang memulakan perniagaan dengan sahabat karib dan berkongsi segala dari segi modal dan lain-lain yang dikenali sebagai perkongsian.
Sebenarnya selain dari perniagaan persendirian dan perkongsian, terdapat beberapa jenis lain yang utama bagi bentuk organisasi dan milikan perniagaan ini, antaranya adalah jenis syarikat berhad dan perniagaan berbentuk koperasi.
Disini saya akan kongsikan aspek-aspek perbezaan bagi bentuk perniagaan milikan tunggal, perkongsian, syarikat berhad dan koperasi yang berkaitan dan bakal mempengaruhi tahap kewangan anda pada masa akan datang.
Sebelum itu saya akan definisikan dahulu untuk setiap jenis bentuk organisasi dan milikan perniagaan ini:
- Milikan Tunggal - merupakan perniagaan yang dimiliki oleh seorang pemilik yang memulakan perniagaan dengan melaburkan modal kepada perniagaannya. Kebiasaanya perniagaan jenis ini diurus sendiri oleh pemilik kedai dengan dibantu oleh ahli keluarga.
- Perkongsian - merupakan sejenis perniagaan yang dimiliki oleh lebih daripada seorang pemilik, sekurang-kurangnya dua hingga 20 orang pekongsi yang menjalankan perniagaan bagi mendapatkan keuntungan.
- Koperasi - merupakan sebuah badan perniagaan yang ditubuhkan oleh sekumpulan individu secara sukarela dengan tujuan untuk melindungi kepentingan dan kebajikan berdasarkan prinsip-prinsip koperasi yang telah dipersetujui.
- Syarikat berhad - jenis perniagaan ini terbahagi kepada dua iaitu syarikat sendirian berhad (sdn bhd) dan syarikat awam berhad. Bagi syarikat sdn bhd, ia ditubuhkan oleh minimum dua orang pemegang saham dan jumlah maksimumnya adalah 50 orang pemegang saham. Manakala, bagi syarikat awam berhad tiada had maksimum bagi jumlah pemegang sahamnya.
Berikut merupakan ciri-ciri perbezaan jenis organisasi dan milikan perniagaan dari segi aspek sumber modal, liabliti, hayat perniagaan, penubuhan, pengurusan dan keuntungan :
- Milikan Tunggal - bagi perniagaan jenis ini, sumber modal diperoleh dari pemilik sendiri dan liabilitinya adalah tidak terhad yang bermaksud jika aset perniagaan tidak mampu untuk membayar hutang perniagaan, pemilik terpaksa menggunakan aset peribadinya untuk menanggung hutang tersebut. Dari segi keuntungannya pula, pemilik perniagaan akan menikmati semua keuntungan, begitu juga jika berlaku kerugian dan bebas untuk membuat sebarang keputusan tanpa perlu mendapat persetujuan dari sesiapa. Tetapi jika pemilik perniagaan muflis, meninggal dunia atau hilang, peniagaan ini akan dibubarkan.
- Perkongsian - sumber modal disumbangkan oleh para pekongsi dan liabilitinya adalah tidak terhad (sama seperti perniagaan jenis milikan tunggal). Hayat perniagaan ini akan berterusan walaupun salah seorang dari ahli pekongsi hilang atau meninggal dunia. Dari segi keuntungan dan kerugian pula adalah diangihkan menurut ikatan perjanjian antara perkongsi menurut Ikatan Perjanjian Perkongsian.
- Koperasi - Sumber modal disumbangkan oleh pemegang saham melalui pembelian saham atau syer. Liabilitinya adalah terhad dimana jika koperasi gagal dalam operasinya, anggota hanya menanggung kerugian setakat modal yang dilaburkan sahaja. Jenis perniagaan ini diuruskan oleh Anggota Lembaga Koperasi yang dilantik melalui pengundian dalam mesyuarat agung. Keuntungan akan diagihkan dalam bentuk dividen.
- Syarikat Berhad - Sumber modal disumbangkan oleh pemegang saham dimana ia dikumpulkan melalui terbitan saham, pemegang saham juga merupakan pemilik syarikat berkenaan. Keuntungan dinikmati oleh pemegang saham dalam bentuk dividen dan bonus. Perjalanan syarikat berhad juga dikawal dan ditadbir oleh lembga pengarah yang dilantik oleh pemegang saham dalam mesyuarat agung. Selain itu, jangka hayat perniagaan adalah berterusan dalam jangka masa yang lama. Kematian atau kehilangan seseorang anggota pemegang saham tidak akan menjejaskan perjalanan operasi syarikat.
Kesimpulannya, sebelum anda memulakan perniagaan, adalah baik untuk anda membuat carian tentang kebaikan dan keburukan untuk sesebuah bentuk perniagaan agar ia dapat memudahkan anda untuk menguruskan tahap kewangan anda pada masa jangka panjang.
This comment has been removed by a blog administrator.
ReplyDelete